1. Nabi
Syith A.S
2. Nabi Zulkarnain A.S
3. Nabi Khidir A.S
4. Nabi Syam’un A.S
5. Nabi Yusha’ A.S
6. Nabi Daniel A.S
7. Nabi Uzair A.S
8. Nabi Samuel A.S
9. Nabi Imran A.S
10. Nabi Jurjis A.S
11. Nabi Amos A.S
12. Nabi Jeremiah A.S
13. Nabi Malakhi A.S
14. Nabi Isaiah A.S
15. Nabi Hagai A.S
16. Nabi Hanzalah A.S
1. Nabi Syith A.S
Selain itu,
terdapat kisah mengenai para nabi selain 25 orang rasul dan antaranya ialah
Nabi Syith A.S.
Set bahasa
Arab: Shith atau Shiyth yang bermaksud “ditempatkan; ditunjuk” dalam kitab
Kejadian dari Kitab Suci Ibrani dan Alkitab, adalah salah satu anak
(kemungkinan anak ketiga) dari Adam dan Hawa, dan merupakan adik dari Qabil dan
Habil. Ia dilahirkan setelah Habil dibunuh oleh Qabil. Nama Set disebut sepuluh
kali dalam Alkitab, tujuh kalinya di kitab Kejadian, sekali di kitab Bilangan,
I Tawarikh, dan Lukas.
Set
diberikan oleh Allah kepada Nabi Adam A.S sebagai pengganti Habil yang dibunuh.
Ia mempunyai seorang anak yang bernama Enos pada usia 105 tahun dan hidup
hingga mencapai usia 912 tahun. Melalui
keturunan Set dilahirkanlah Nuh A.S, Ibraham A.S, Daud A.S hingga akhirnya
menurunkan Isa A.S.
Set menurut
kepercayaan Islam
Set (Syits) (sekitar 3630-2718 SM), hidup selama lebih kurang 912 tahun,
meninggal pada usia 1042 tahun. Menikah dengan Azura (Hazurah), kemudian
mengandung seorang anak yang bernama Enos pada usia 105 tahun. Ia salah seorang
anak Adam, yang dianggap sebagai salah satu dari nabi-nabi dalam Islam. Ia juga
termasuk guru Nabi Idris yang pertama kali mengajarkan baca dan tulis, ilmu
falak, menjinakkan kuda dan lain-lain.
2. Nabi Zulkarnain A.S
Zulkarnain
secara harfiahnya bermaksud “Dia yang Bertanduk Dua”, merupakan satu tokoh yang
disebutkan di dalam Qur’an, iaitu kitab suci Islam yang menyatakan beliau
sebagai pemerintah yang hebat dan adil yang membina tembok pengantara Yakjuj
dan Makjuj dari menyerang orang yang di Barat. Mengikut sejarah, Zulkarnain
dikatakan sebagai Iskandar Agung (Alexander dari Macedonia) tetapi ia hanyalah
pendapat paling sekular dan disangkal sendiri oleh para ulama dan sarjana Islam
yang mengatakan Zulkarnain adalah Cyrus Agung. Gelaran tersebut turut terkenal
di kalangan masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam yang boleh dikatakan telah
digunakan sekurang-kurangnya tiga orang raja yang berbeza.
Timbulnya
persoalan
Persoalan tentang Zulkarnain tercatat dalam sirah nabawiyah (sejarah Nabi) dan
tertulis dalam sirah Ibnu Ishaq yang menceritakan bahawa musyrikin Makkah
meminta bantuan Yahudi Khaibar untuk mencari kelemahan Muhammad S.A.W. Ketika
Nadr mengatakan hal tersebut kepada mereka, mereka mengirim dia dan Uqbah bin
Abu Muit kepada rabai Yahudi di Madinah. Untuk membuktikan kenabian, rabai
tersebut akan mengajukan tiga soalan yang sekiranya dijawab dengan betul, maka
itu membuktikan akan baginda seorang nabi dan begitu juga sebaliknya.
Persoalan
yang ditanyakan ialah:
1.Tentang
beberapa anak muda di zaman dahulu yang ceritanya amat pelik dan menakjubkan.
2.Tentang
seorang lelaki yang merupakan pengembara hebat yang telah sampai ke timur dan
barat.
3.Tentang
Roh.
Baginda
Muhammad s.a.w. meminta masa untuk menjawabnya dan selepas diturunkan wahyu,
semuanya telah terjawab melalui surah al-Kahfi.
Sedutan
Quran
Berikut merupakan petikan tafsir dari surah al-Kahfi yang menceritakan tentang
Zulkarnain.
83 Dan
mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: Aku
akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang
perihalnya.
84
Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi dan
Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.
85 Lalu dia
menurut jalan (yang menyampaikan maksudnya).
86 Sehingga
apabila dia sampai ke daerah matahari terbenam, dia mendapatinya terbenam di
sebuah mata air yang hitam berlumpur dan dia dapati di sisinya satu kaum (yang
kufur ingkar). Kami berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya): Wahai
Zulkarnain! Pilihlah samada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak
secara baik terhadap mereka.
87 Dia
berkata: Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan
menyeksanya; kemudian dia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya
dengan azab seksa yang seburuk-buruknya.
88 Adapun
orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang
sebaik-baiknya; dan kami akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang
tidak memberati.
89 Kemudian
dia berpatah balik menurut jalan yang lain.
90 Sehingga
apabila dia sampai di daerah matahari terbit, dia mendapatinya terbit kepada
suatu kaum yang kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan
daripadanya.
91
Demikianlah halnya dan sesungguhnya Kami mengetahui secara meliputi akan segala
yang ada padanya.
92 kemudian
dia berpatah balik menurut jalan yang lain.
93 Sehingga
apabila dia sampai di antara dua gunung, dia dapati di sisinya satu kaum yang
hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan.
94 Mereka
berkata: Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa
melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan
sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau
membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?
95 Dia
menjawab: (Kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya,
lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu
beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup
yang kukuh.
96 Bawalah
kepadaku ketul-ketul besi; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya
menutup lapangan antara dua gunung itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya
dengan berkata: Tiuplah dengan alat-alat kamu sehingga apabila ia menjadikannya
merah menyala seperti api, berkatalah dia: Bawalah tembaga cair supaya aku
tuangkan atasnya.
97 Maka,
mereka tidak dapat memanjat tembok itu dan mereka juga tidak dapat menebuknya.
98 (Setelah
itu) berkatalah Zulkarnain: Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada
itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur
dan adalah janji Tuhanku itu benar.
Bertanduk
dua?
Sesetengah pihak berpendapat gelaran “Zulkarnain” bermaksud “bertanduk dua”,
yang secara tersiratnya merujuk kepada syiling yang ditempa untuk Iskandar
Agung mahupun ukiran dinding Cyrus Agung. Pentafsir Quran abad ke-14 memberikan
sebab yang berbeza. Dalam Tafsir Ibn Kathir menyatakan, “sesetengah mereka
memanggilnya Zulkarnain kerana dia mencapai dua “tanduk” (batas) matahari,
timur dan barat, tempat ia terbit dan terbenam.”
Tambahan pula,
nama Zulkarnain juga diterjemahkan menjadi “dia yang berketurunan dua”, “dia
yang hidup hingga dua kurun”, “dia yang memiliki dua kerajaan” ataupun
“pemerintah dua kerajaan”. Banyak yang mentafsirkan perkataan tersebut dengan
maksud yang berbeza.
Terdapat
juga pendapat yang mengatakan “bertanduk dua” bermaksud menggabungkan 2 negeri.
Perbezaan
Antara Iskandar Agung dan Zulkarnain
Hasil kajian ilmuan dan sarjana Islam seperti Seyyed Ahmad Khan (pentafsir
Quran terkenal), Molana Abolkalam Azad (Menteri Kebudayaan India), Baha’eddin
Khomrashahi dan Dr. Muhammad Ebrahim Bastabi Parizi menyangkal bahawa
Zulkarnain adalah Iskandar Agung. Mereka lebih mengesyaki yang Zulkarnain
adalah Cyrus Agung iaitu raja empayar Parsi Arkaemenia. Mereka memberikan
bukti-bukti kukuh termasuk artifak tulisan dan ukiran pada batu istana dan
kubur.
Berikut merupakan bukti yang dinyatakan:
1.Ukiran
pada batu yang masih dapat dilihat hingga kini yang memaparkan Cyrus dengan
mahkotanya yang
mempunyai tanduk.
2. Menurut Qur’an, rahmat Tuhan diberikan bersamanya dan dengan itu, Cyrus
merupakan raja pertama
(beberapa ratus tahun sebelum Iskandar Agung) yang
menakluki sebahagian besar Eropah dan Asia.
3. Cyrus (seperti juga Zulkarnain) menyembah satu Tuhan tetapi Iskandar Agung
mempunyai banyak
dewa-dewi.
4. Di dalam al-Qur’an tercatat perjalanan Zulkarnain iaitu bermula ke Barat
lalu ke Timur sebelum ke jalan
yang lain (iaitu Utara) yang bertepatan dengan
ekspedisi Cyrus yang memulakan penaklukan di Barat
Parsi hingga ke Lydia di
Asia Kecil kemudian berpatah ke timur sehingga Makran dan Sistani (Scythian)
sebelum ke Timur Laut menawan Eropah berhampiran Balkan.
5. Ekspedisi Cyrus diteruskan dengan penaklukan Lycia, Cilicia dan Phoenicia,
dan mereka menggunakan
teknik pembinaan tembok yang belum digunakan lagi oleh
orang Yunani ketika itu.
6. Menurut al-Qur’an, pengembaraan Zulkarnain dimudahkan dan kebetulan lagi
bagi Cyrus, beliau sempat
menamatkan ekspedisinya kali itu pada 542 SM, sebelum
pulang ke Parsi manakala Iskandar masih
dalam misi menakluknya ketika dia mati.
7. Keperibadian Iskandar juga dikatakan tidak seperti yang dikatakan mulia
apabila Iskandar sendiri sering
berpesta arak dan juga mempunyai seorang
lelaki, Haphaeston, sebagai kekasihnya.
Menurut
Afareez Abd Razak Al Hafiz; seorang penulis buku ‘Benarkah Iskandar Bukan
Zulqarnain’ telah menceritakan bahawa Raja Kurush yang memerintah Parsi pada
ketika itu ialah Nabi Zulqarnain A.S. Hasil kajian yang dilakukan oleh beliau
telah menunjukkan terdapat persamaan ciri-ciri antara Raja Kurush dengan
Zulqarnain.
3. Nabi Khidir A.S
Al-Khiḍr
(Arab:الخضر,
Khaḍr, Khaḍer, al-Khaḍir) adalah seorang nabi yang dikisahkan oleh Allah dalam
Al-Qur’an dalam Surah Al-Kahfi ayat 65-82. Selain kisah tentang nabi Khidir
yang mengajarkan tentang ilmu dan kebijaksanaan kepada Nabi Musa, asal usul dan
kisah lainnya tentang Nabi Khidir tidak banyak disebutkan.
Etimologi
Al-Khidir secara harfiah bererti ‘Seseorang yang Hijau’ melambangkan kesegaran
jiwa, warna hijau melambangkan kesegaran akan pengetahuan “berlarut langsung
dari sumber kehidupan.” Dalam Encyclopædia Britannica, dikatakan bahawa Khidir
telah diberikan sebuah nama, yang paling terkenal iaitu Balyā bin Malkān.
Teguran
Allah kepada Musa
Kisah Musa dan Khidir dirakamkan oleh Al-Qur’an dalam Surah Al-Kahfi ayat
65-82. Menurut Ibnu Abbas, Ubay bin Ka’ab menceritakan bahawa beliau mendengar
nabi Muhammad bersabda: “Sesungguhnya pada suatu hari, Musa berdiri di khalayak
Bani Israil lalu beliau ditanya, “Siapakah orang yang paling berilmu?” Jawab Nabi
Musa, “Aku” Lalu Allah menegur Nabi Musa dengan firman-Nya, “Sesungguhnya di
sisi-Ku ada seorang hamba yang berada di pertemuan dua lautan dan dia lebih
berilmu daripada kamu.”
Lantas Musa
pun bertanya, “Wahai Tuhanku, dimanakah aku dapat menemuinya?” Allah pun
berfirman, “Bawalah bersama-sama kamu seekor ikan di dalam sangkar dan
sekiranya ikan tersebut hilang, di situlah kamu akan bertemu dengan hamba-Ku
itu.” Sesungguhnya teguran Allah itu mencetuskan keinginan yang kuat dalam diri
Nabi Musa untuk menemui hamba yang soleh itu. Di samping itu, Nabi Musa juga
ingin sekali mempelajari ilmu dari Hamba Allah tersebut.
Musa
kemudiannya menunaikan perintah Allah itu dengan membawa ikan di dalam wadah
dan berangkat bersama-sama pembantunya yang juga merupakan murid dan
pembantunya, Yusya bin Nun.
Mereka
berdua akhirnya sampai di sebuah batu dan memutuskan untuk beristirehat sejenak
kerana telah menempuh perjalanan cukup jauh. Ikan yang mereka bawa di dalam
wadah itu tiba-tiba meronta-ronta dan selanjutnya terjatuh ke dalam air. Allah
SWT membuatkan aliran air untuk memudahkan ikan sampai ke laut.
Yusya` terpegun
memperhatikan kebesaran Allah menghidupkan semula ikan yang telah mati itu.
Selepas
menyaksikan peristiwa yang sungguh menakjubkan dan luar biasa itu, Yusya’
tertidur dan ketika terjaga, beliau lupa untuk menceritakannya kepada Musa.
Mereka kemudiannya meneruskan lagi perjalanan siang dan malamnya dan pada
keesokan paginya,
Nabi Musa berkata kepada Yusya` “Bawalah ke mari makanan kita, sesungguhnya
kita telah berasa letih kerana perjalanan kita ini.” (Surah Al-Kahfi : 62)
Ibn `Abbas
berkata, “Nabi Musa sebenarnya tidak berasa letih sehingga baginda melewati
tempat yang diperintahkan oleh Allah supaya menemui hamba-Nya yang lebih
berilmu itu.” Yusya’ berkata kepada Nabi Musa, “Tahukah guru bahawa ketika kita
mencari tempat berlindung di batu tadi, sesungguhnya aku lupa (menceritakan
tentang) ikan itu dan tidak lain yang membuat aku lupa untuk menceritakannya
kecuali syaitan dan ikan itu kembali masuk kedalam laut itu dengan cara yang
amat aneh.” (Surah Al-Kahfi : 63)
Musa segera
teringat sesuatu, bahawa mereka sebenarnya sudah menemuui tempat pertemuan
dengan hamba Allah yang sedang dicarinya itu. Kini, kedua-dua mereka berbalik
arah untuk kembali ke tempat tersebut iaitu di batu yang menjadi tempat
persinggahan mereka sebelumnya, tempat bertemunya dua buah lautan. Musa
berkata, “Itulah tempat yang kita cari.” Lalu keduanya kembali, mengikuti jejak
mereka semula. (Surah Al-Kahfi : 64)
Terdapat
banyak pendapat tentang tempat pertemuan Musa dengan Khidir. Ada yang
mengatakan bahawa tempat tersebut adalah pertemuan Laut Romawi dengan Parsi
iaitu tempat bertemunya Laut Merah dengan Samudra Hindia. Pendapat yang lain
mengatakan bahawa lautan tersebut terletak di tempat pertemuan antara Laut Roma
dengan Lautan Atlantik. Di samping itu, ada juga yang mengatakan bahawa lautan
tersebut terletak di sebuah tempat yang bernama Ras Muhammad iaitu antara Teluk
Suez dengan Teluk Aqabah di Laut Merah.
Persyaratan
belajar
Setibanya mereka di tempat yang dituju, mereka melihat seorang hamba Allah yang
berjubah putih bersih. Nabi Musa pun mengucapkan salam kepadanya. Khidir
menjawab salamnya dan bertanya, “Dari mana datangnya kesejahteraan di bumi yang
tidak mempunyai kesejahteraan? Siapakah kamu” Jawab Musa, “Aku adalah Musa.”
Khidir bertanya lagi, “Musa dari Bani Isra’il?” Nabi Musa menjawab, “Ya. Aku
datang menemui tuan supaya tuan dapat mengajarkan sebagian ilmu dan
kebijaksanaan yang telah diajarkan kepada tuan.”
Khidir
menegaskan, “Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sanggup bersabar
bersama-samaku.” (Surah Al-Kahfi : 67) “Wahai Musa, sesungguhnya ilmu yang
kumiliki ini ialah sebahagian daripada ilmu kurniaan dari Allah yang diajarkan
kepadaku tetapi tidak diajarkan kepadamu wahai Musa. Kamu juga memiliki ilmu
yang diajarkan kepadamu yang tidak kuketahuinya.”
Nabi Musa
berkata, “Insya Allah tuan akan mendapati diriku sebagai seorang yang sabar dan
aku tidak akan menentang tuan dalam sesuatu urusan pun.” (Surah Al-Kahfi : 69)
Dia (Khidir)
selanjutnya mengingatkan, “Jika kamu mengikutiku, maka janganlah kamu
menanyakan kepadaku tentang sesuatu pun sehingga aku sendiri menerangkannya
kepadamu.” (Surah Al-Kahfi : 70)
Perjalanan
Khidir dan Musa
Demikianlah seterusnya Musa mengikuti Khidir dan terjadilah beberapa peristiwa
yang menguji diri Musa yang telah berjanji bahawa baginda tidak akan bertanya
sebab sesuatu tindakan diambil oleh Nabi Khidir. Setiap tindakan Nabi Khidir
A.S. itu dianggap aneh dan membuat Nabi Musa terperanjat.
Kejadian
yang pertama adalah saat Nabi Khidir menghancurkan perahu yang ditumpangi
mereka bersama. Nabi Musa tidak kuasa untuk menahan hatinya untuk bertanya
kepada Nabi Khidir. Nabi Khidir memperingatkan janji Nabi Musa, dan akhirnya
Nabi Musa meminta maaf kerana kelancangannya mengingkari janjinya untuk tidak
bertanya terhadap setiap tindakan Nabi Khidir.
Selanjutnya
setelah mereka sampai di suatu daratan, Nabi Khidir membunuh seorang anak yang
sedang bermain dengan kawan-kawannnya. Peristiwa pembunuhan yang dilakukan oleh
Nabi Khidir tersebut membuat Nabi Musa tak kuasa untuk menanyakan hal tersebut
kepada Nabi Khidir. Nabi Khidir kembali mengingatkan janji Nabi Musa, dan
beliau diberi kesempatan terakhir untuk tidak bertanya-tanya terhadap segala
sesuatu yang dilakukan oleh Nabi Khidir, jika masih bertanya lagi maka Nabi
Musa harus rela untuk tidak mengikuti perjalanan bersama Nabi Khidir.
Selanjutnya
mereka melanjutkan perjalanan hingga sampai disuatu wilayah perumahan. Mereka
kelelahan dan hendak meminta bantuan kepada penduduk sekitar. Namun sikap
penduduk sekitar tidak bersahabat dan tidak mahu menerima kehadiran mereka, hal
ini membuat Nabi Musa berasa kesal terhadap penduduk itu. Setelah dikecewakan
oleh penduduk, Nabi Khidir malah menyuruh Nabi Musa untuk bersama-samanya
memperbaiki tembok suatu rumah yang rosak di daerah tersebut.
Nabi Musa tidak
kuasa kembali untuk bertanya terhadap sikap Nabi Khidir ini yang membantu
memperbaiki tembok rumah setelah penduduk menzalimi mereka. Akhirnya Nabi Khidir
menegaskan pada Nabi Musa bahawa beliau tidak dapat menerima Nabi Musa untuk
menjadi muridnya dan Nabi Musa tidak diperkenankan untuk terus melanjutkan
perjalanannya bersama dengan Nabi Khidir.
Selanjutnya
Nabi Khidir menjelaskan mengapa beliau melakukan hal-hal yang membuat Nabi Musa
bertanya. Kejadian pertama adalah Nabi Khidir menghancurkan perahu yang mereka
tumpangi kerana perahu itu dimiliki oleh seorang yang miskin dan di daerah itu
tinggallah seorang raja yang suka merampas perahu milik rakyatnya.
Kejadian
yang kedua, Nabi Khidir menjelaskan bahawa beliau membunuh seorang anak kerana
kedua-dua orang tuanya adalah pasangan yang beriman dan jika anak ini menjadi
dewasa dapat mendorong bapa dan ibunya menjadi orang yang sesat dan kufur.
Kematian anak ini digantikan dengan anak yang soleh dan lebih mengasihi kedua
ibu bapanya hingga ke anak cucunya.
Kejadian
yang ketiga (terakhir), Nabi Khidir menjelaskan bahawa rumah yang dinding
diperbaiki itu adalah milik dua orang adik-beradik yatim yang tinggal di kota
tersebut. Didalam rumah tersebut tersimpan harta benda yang ditujukan untuk
mereka berdua. Ayah kedua-dua adik-beradik ini telah meninggal dunia dan
merupakan seorang yang soleh. Jika tembok rumah tersebut runtuh, maka boleh
dipastikan bahawa harta yang tersimpan tersebut akan ditemui oleh orang-orang
di kota itu yang sebahagian besar masih menyembah berhala, sedangkan kedua
adik-beradik tersebut masih cukup kecil untuk mengelola peninggalan harta
ayahnya. Dipercayai tempat tersebut berada di negeri Antakya, Turki.
Akhirnya
Nabi Musa as. sedar hikmah dari setiap perbuatan yang telah dikerjakan Nabi
Khidir. Akhirya mengerti pula Nabi Musa dan berasa amat bersyukur kerana telah
dipertemukan oleh Allah dengan seorang hamba Allah yang soleh yang dapat mengajarkan
kepadanya ilmu yang tidak dapat dituntut atau dipelajari iaitu ilmu ladunni.
Ilmu ini diberikan oleh Allah SWT kepada siapa saja yang dikehendaki-Nya. Nabi
Khidir yang bertindak sebagai seorang guru banyak memberikan nasihat dan
menyampaikan ilmu seperti yang diminta oleh Nabi Musa dan Nabi Musa menerima
nasihat tersebut dengan penuh rasa gembira.
Saat mereka
didalam perahu yang ditumpangi, datanglah seekor burung lalu hinggap di hujung
perahu itu. Burung itu meneguk air dengan paruhnya, lalu Nabi Khidir berkata,
“Ilmuku dan ilmumu tidak berbanding dengan ilmu Allah, Ilmu Allah tidak akan
pernah berkurang seperti air laut ini kerana diteguk sedikit airnya oleh burung
ini.”
Sebelum
berpisah, Khidir berpesan kepada Musa: “Jadilah kamu seorang yang tersenyum dan
bukannya orang yang tertawa. Teruskanlah berdakwah dan janganlah berjalan tanpa
tujuan. Janganlah pula apabila kamu melakukan kekhilafan, berputus asa dengan
kekhilafan yang telah dilakukan itu. Menangislah disebabkan kekhilafan yang
kamu lakukan, wahai Ibnu `Imran.”
Hikmah kisah
Khidir
Dari kisah Khidir ini kita dapat mengambil iktibar penting. Diantaranya adalah
Ilmu merupakan kurniaan Allah S.W.T, tidak ada seorang manusia pun yang boleh
mengaku bahawa dirinya lebih berilmu dibanding yang lain. Hal ini kerana ada
ilmu yang merupakan anugrah dari Allah SWT yang diberikan kepada seseorang
tanpa harus mempelajarinya (Ilmu Ladunni, iaitu ilmu yang dikhususkan bagi
hamba-hamba Allah yang soleh dan terpilih)
Hikmah yang
kedua adalah kita perlu bersabar dan tidak terburu-buru untuk mendapatkan
kebijaksanaan dari setiap peristiwa yang dialami. Hikmah ketiga adalah setiap
murid harus memelihara adab dengan gurunya. Setiap murid harus bersedia
mendengar penjelasan seorang guru dari awal hingga akhir sebelum nantinya dapat
bertindak diluar perintah dari guru. Kisah Nabi Khidir ini juga menunjukan
bahawa Islam memberikan kedudukan yang sangat istimewa kepada guru.
4. Nabi Yusha’ A.S.
Yusha‘ bin
Nūn (Arab:يوشع) adalah salah seorang nabi yang memimpin Bani Israel memasuki
kota Yareho (Jericho). Yusha‘ bin Nūn membawa ajaran Musa pada pertama kali
tiba di “Tanah Yang di Janjikan”. Ia mengatur penempatan kedua belas suku
Israel setibanya di Kanaan. Yusha dikenal sebagai Joshua didalam Taurat.
Namanya tidak disebutkan secara langsung tetapi Al-Qur’an mereferensikannya
bersama dengan kisah Musa didalam surah Al-maidah, Al Kahfi dan Waqi’ah.
Sesudah
Harun dan Musa wafat, kaum Bani Israil dipimpin oleh Yusha‘ bin Nūn, yang
memang telah ditunjuk oleh Musa untuk menggantikannya sebelum kewafatannya.
Berkat kepemimpinan Yusha‘ bin Nūn mereka dapat menguasai tanah Palestin dan
menetap tinggal di istana. Namun setelah Yusha‘ bin Nūn wafat, mereka
berpecah-belah. Dalam ajaran Islam dikatakan bahawa isi kitab Taurat mereka diubah
dan ditambah-tambah.
Mereka sering berselisih pendapat sesama mereka sendiri
hingga akhirnya hilanglah kekuatan persatuan mereka, yang mengakibatkan tanah
Palestin diserbu dan dikuasai oleh bangsa lain. Dari segi positifnya adalah
ketika dia meninggal, semua tugas untuk mengatur dua belas suku tersebut telah
selesai sesuai dengan kehendak Allah.
Matahari
Terhenti seketika
Di antara mukjizat Nabi Yusha’ ialah Allah berhentikan matahari bagi
menyebabkan hari Jumaat berpanjangan bagi membolehkan perang diteruskan. Hal
ini kerana waktu itu Allah mengharamkan kaum Yahudi berperang pada hari Sabtu,
dalam satu peperangan terhadap kaum kanaan yang berlaku pada hari Jumaat, maka
berlakulah mukjizat tersebut. Mengikut syariat terdahulu, hari sabtu hanya
untuk melakukan ibadat. Nabi Yusha’ telah berdoa agar Allah memberhentikan
seketika matahari bagi membolehkan Nabi Yusha’ bersama-sama tenteranya
menggempur kota Jericho yang merupakan “Tanah Yang di Janjikan”.
5. Nabi Daniel A.S.
Nabi Daniel
(bahasa Ibrani: דָּנִיֵּאל, Daniyyel,
Dāniyyêl; bahasa Parsi: دانيال, Dâniyal atau Danial, juga disebut Dani, داني ; Arabic: دانيال,
Danyal) adalah tokoh yang dicatat dalam sejarah sebagai salah seorang Nabi
ataupun Utusan Allah (Tuhan) dalam tiga agama samawi (Islam, Kristian, Yahudi).
Namun begitu, maklumat mengenai Baginda banyak tertumpu kepada catatan dalam
Kitab Daniel dalam agama Kristian Katolik dan Yahudi.
Kisah Nabi
Daniel A.S.
Kitab Daniel, yang ditulis dalam bahasa Ibrani dan bahasa Aramik, adalah sebuah
kitab suci Tanakh bagi agama Yahudi atau Perjanjian Lama bagi agama Kristian.
Kisah dalam kitab ini berlaku semasa pembuangan di Babel, iaitu ketika bangsa
Yahudi dibuang dan diasingkan ke Babil. Kisah ini berkisar seorang tokoh yang
bernama Daniel yang berbangsa Israil dan menjadi penasihat Nebuchadnezar,
penguasa Babil (Babylon) dari 605 SM – 562 SM.
Nabi Daniel
A.S. bersama-sama bangsa Israil telah ditawan dan diasingkan ke Babil (Iraq)
ketika masih kecil lagi. Ketika itu pemerintah Babil yang bernama
Nebuchadnezzar telah menyerang Baitulmaqdis serta menghancurkan kota tersebut
dan membawa para tawanan dari kalangan bangsa Israil dan mereka telah dizalimi
oleh raja tersebut serta tidak dibenarkan pulang ke Baitulmaqdis.
Mimpi Raja Nebuchadnezzar
Dalam satu riwayat mengatakan bahawa ketika dalam tahanan penjara, Nabi Daniel
bersama-sama rakannya tidak menjamah sedikit pun makanan yang diberikan oleh
tentera Babylon sebaliknya hanya makan sayur dan minum air sahaja.
Kemudian
pada satu ketika raja Nebuchadnezzar telah bermimpi sesuatu yang menakutkan
sehingga dia telah meminta para ahli nujum untuk menafsirkan mimpinya namun dia
sendiri tidak tahu apa yang dimimpikan olehnya. Raja Nebuchadnezzar mengancam
untuk menjatuhkan hukuman bunuh kepada para ahli nujum sekiranya mereka tidak
dapat menafsirkan mimpinya sehinggalah salah seorang daripada tawanan penjara
memberitahu raja bahawa Nabi Daniel boleh menafsirkan mimpi raja itu.
Nabi Daniel
telah menafsirkan mimpi raja itu mengenai sebuah patung besar yang mana setiap bentuk
pada tubuh patung itu adalah daripada pelbagai logam iaitu kepalanya dari emas
tua, dada dan lengannya dari perak, perut dan pinggangnya dari tembaga sedang
pehanya dari besi dengan kakinya sebahagian daripada besi dan sebahagian lagi
dari tanah liat.
Nabi Daniel memberitahu lagi bahawa raja itu telah melihat
sebuah batu tanpa perbuatan manusia telah menimpa patung itu tepat di bahagian
kakinya yang dari besi dan tanah liat itu sehingga remuk. Akhirnya, batu itu
yang menimpa patung tanpa perbuatan tangan manusia menghancurkan semua logam
yang ada dipatung tersebut. Kemudian batu itu menjadi gunung yang besar
memenuhi seluruh bumi.
Nabi Daniel
secara jelas dan tegas menjelaskan bahawa logam-logam itu melambangkan sebuah
pengantian kekuasaan dari kerjaan-kerajaan besar yang berdiri dan kemudian
roboh, dimulai dengan Babylon yang dilambangkan oleh kepala dari emas. Sesudah
Babylon adalah Media-Parsi (lengan dan dada perak). Kemudian kerajaan itu
digantikan oleh Yunani (tembaga), kemudian digantikan lagi oleh Kekaisaran Rom
iaitu kerajaan yang keempat yang keras seperti besi, tepat seperti besi yang
meremukkan dan menghancurkan segala sesuatu dan seperti besi yang menghancur
luluhkan, maka kerajaan itu akan meremukkan dan menghancur luluhkan semuanya.
Selanjutnta pada bahagian kaki yang daripada campuran besi dan tanah liat pula
ialah merujuk kepada kerajaan-kerajaan di Eropah selepas keruntuhan kekaisaran
Rom pada 476 masihi. Campuran besi dan tanah liat adalah juga merujuk kepada
penyatuan negara-negara Eropah namun sentiasa mengalami kegagalan.
Maka selepas
itu, Nabi Daniel telah dilantik oleh raja itu untuk menjadi orang kanannya
kerana raja itu kagum dengan kehebatan Nabi Daniel, namun para menteri yang
lain berasa cemburu lalu mereka telah mengadakan pelbagai cara untuk membunuh
Nabi Daniel. Digalilah sebuah lubang besar, kemudian Nabi Daniel dimasukkan ke
dalamnya bersama-sama dengan binatang-binatang buas dan berbisa. Namun, setelah
beberapa hari lamanya Nabi Daniel berada di lubang tersebut, Nebuchadnezzar
mendapatkan Nabi Daniel dalam keadaan sihat serta tidak luka sedikitpun. Para
menteri itu terus membuat perancangan untuk membunuh Nabi Daniel sehinggakan
mereka telah menghasut raja Nebuchadnezzar bahawa Nabi Daniel telah ‘buang air’
terhadap raja itu ketika sedang tidur. Raja yang mendengar hasutan itu berasa
geram lalu
Nabi Daniel telah dipanggil oleh raja terbabit untuk tidur
dibiliknya. Nebuchadnezzar telah memberitahu pengawalnya sekiranya terdapat
orang yang ingin masuk ke biliknya walaupun dia mengaku sebagai raja, pengawal
itu perlu membunuh orang itu. Nabi Daniel tidak keluar daripada bilik itu
sebaliknya raja itu yang keluar kerana hendak membuang air sehinggakan pengawal
yang berkawal itu tidak percaya sedikitpun kepada Nebuchadnezzar walaupun dia
memberitahu dia adalah raja. Akhirnya dia telah dibunuh oleh pengawalnya
sendiri. Begitulah Allah S.W.T. hendak menyelamatkan nabi-Nya daripada
kezaliman Nebuchadnezzar.
Seterusnya
kerajaan Babylon telah ditawan oleh kerajaan Media-Parsi dan pemerintahnya
telah melantik Nabi Daniel sebagai penasihatnya. Nabi Daniel juga dikatakan
telah dipenjarakan ketika berada di bawah pemerintahan kerajaan Media-Parsi
kerana tidak mahu meninggalkan amalan ibadahnya yakni (menyembah Allah)
walaupun telah dikuatkuasakan oleh kerajaan itu yang melarang rakyat
mengamalkan amalan ibadah. Nabi Daniel telah dipenjarakan bersama-sama 3 ekor
singa, namun singa-singa itu tidak sedikitpun mencederakannya.
Menurut Abul
Barakat al-Hifny, Nabi Daniel kemudian berangkat menuju ke kota Iskandariyah
dan menghabiskan sisa-sisa hidupnya untuk berdakwah di sana, bahkan wafat dan
terdapat makamnya di sana. Kemudian wujudnya Masjid Nabi Daniel sewaktu Mesir
di bawah pemerintahan seorang gabenor iaitu Amru Al As kerana beliau telah
menjumpai makam Nabi itu lalu membina masjid dikawasan itu dan dinamakan
sempena nama Nabi Daniel.
6. Nabi Uzair A.S.
Nabi Uzair
AS adalah seorang hamba Allah yang hidup pada zaman antara Nabi Saleh A.S. dan
Nabi Ibrahim A.S. iaitu sekitar 5000 sampai 4000 tahun sebelum masa Nabi Isa
AS. Nabi Uzair A.S. adalah seorang Nabi dan Rasul utusan Allah S.W.T, salah
satu diantara 313 orang Rasul utusan Allah.
Kemusnahan
kota Jerusalem
Allah S.W.T. telah meranapkan kaum Yahudi sebanyak dua kali akibat sikap mereka
yang degil. Selepas mereka menyeleweng buat kali pertama, Allah S.W.T.
mentakdirkan sepasukan tentera yang tanpa gentar menghadapi serta memusnahkan
mereka iaitu tentera dari kalangan bangsa Kanaan yang dipimpin oleh Jalut namun
akhirnya dikalahkan oleh Nabi Daud A.S.
Kali
keduanya pula adalah serangan Raja Bukhtanasar yang menyerang Jerusalem dan
membunuh penduduknya dan seterusnya membawa hampir semua yang selebihnya
sebagai hamba ke empayarnya. Kota terbabit musnah sama sekali termasuklah harta
benda mereka yang dirampas. Kota tersebut sunyi sepi tanpa ada seorang pun yang
tinggal.
Selepas Raja
Bukhtanasar pulang ke empayarnya sambil meninggalkan kemusnahan di belakangnya,
Nabi Uzair A.S. telah melalui Jerusalem bersama-sama seekor keldainya dan
menyaksikan kesan-kesan kemusnahan yang dahsyat.
Beliau
kemudian, turun dari keledainya dan bersujud kepada Allah S.W.T dengan berkata
“Bagaimana Allah menghidupkan kembali negeri ini setelah hancur?”
Maka dengan
itu Allah menidurkannya (mematikannya) selama 100 tahun. Dalam tempoh 70 tahun
penidurannya itu, bandar itu mula dihuni oleh penduduk-penduduk bertambah pesat
dan membangun serta kepulangan orang-orang yang dibawa pergi oleh Raja
Bukhtanasar ke tanah air asal mereka atas arahan Raja Kurush (Nabi Zulqarnain
A.S.).
Nabi Uzair
A.S. dihidupkan/dibangunkan semula
Setelah 100 tahun tertidur, Allah S.W.T membangunkan atau menghidupkan kembali
beliau dengan jasadnya sebagaimana sebelum beliau tertidur. Kemudian Allah
bertanya kepada beliau: “Berapa lama kamu tinggal di sini?” Beliau menjawab:
“Saya telah tinggal di sini sehari atau setengah hari”. Allah berfirman:
“Sebenarnya kamu telah tinggal di sini seratus tahun lamanya; lihatlah kepada
makanan dan minumanmu yang belum lagi berubah; dan lihatlah kepada keldai kamu
(yang telah menjadi tulang belulang);
Kami akan menjadikan kamu tanda kekuasaan
Kami bagi manusia; dan lihatlah kepada tulang belulang keldai itu, kemudian
Kami menyusunnya kembali, kemudian Kami membalutnya dengan daging”. Maka
tatkala telah nyata kepadanya (bagaimana Allah menghidupkan yang telah mati)
beliau pun berkata: “Saya yakin bahawa Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu”.
(QS 2 Al Baqarah 259).
Nabi Uzair
A.S. bertemu semula ahli keluarga dan masyarakat
Selepas itu beliau pun menunggang keldai itu dan pergi ke rumahnya sendiri yang
ditinggalkannya 100 tahun dahulu dan menemui seorang wanita buta yang berusia
120 tahun. Beliau bertanya kepadanya, adakah rumah itu kepunyaan Uzair? Beliau
(wanita itu) mengiakan persoalan itu dan menyatakan yang Uzair sudah dilupakan
orang.
Akhirnya, apabila beliau berjaya meyakinkan kepada wanita itu beliau
adalah Uzair, wanita itu pun mengumumkan kepada orang ramai yang Uzair sudah
kembali dan nabi Uzair pun didatangi oleh anaknya sendiri yang berusia 118
tahun. Sewaktu beliau ditidurkan, anaknya hanya berusia 18 tahun. Lalu anaknya
mengatakan yang ayahnya dahulu memiliki tanda kelahiran di antara dua bahunya.
Maka dengan itu, beliau pun menunjukkan tanda kelahiran itu.
Penulisan
semula kitab Taurat
Oleh sebab tidak ada sesiapa yang menghafal kitab Taurat dan kitab itu sudah
dibakar kesemuanya pada zaman penyerangan Raja Bukhtunasar, maka mereka meminta
Nabi Uzair mengeluarkan satu-satunya salinan Taurah yang disembunyikan oleh
ayahnya sendiri yang bernama Sarukha.
Namun apabila
Nabi Uzair mengeluarkan salinan kitab Taurat dari tempat persembunyian asalnya,
didapati kertasnya sudah reput dan berderai. Maka Nabi Uzair pun duduk seketika
sambil dikelilingi orang ramai dan memikirkan bagaimana beliau dapat menulis
semula kitab Taurat, maka pada ketika itu di hadapan penyaksian orang-orang
Yahudi, terdapat dua tahi bintang jatuh dari langit dan menghentak dadanya yang
menyebabkan galakan pada daya pemikirannya, lalu menulis kembali kitab Taurat
daripada ingatannya.
Maka dengan
itu, orang-orang Yahudi mengatakan yang beliau adalah anak Allah disebabkan dua
perkara iaitu yang pertama, penyaksian mereka pada jatuhnya dua tahi bintang
dari langit yang terkena kepada Nabi Uzair. Menurut pandangan mereka, ini
adalah tanda sebagai anak Tuhan. Perkara yang kedua pula adalah walaupun Nabi
Musa seorang yang hebat daripada pelbagai aspek termasuk mukjizat-mukjizatnya,
namun beliau tidak mampu menyampaikan ajaran kitab Taurat kecuali daripada
penulisan Taurat itu sendiri sedangkan Nabi Uzair berupaya menyalin kitab
Taurat hanya melalui ingatannya.
Perbuatan mereka ini amatlah tercela dan
dilaknat oleh Allah kerana Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Hal ini
telah dirakamkan dalam Al Quran yang bermaksud : Dan orang-orang Yahudi
berkata: “Uzair ialah anak Allah” dan orang-orang Nasrani berkata: “Al-Masih
ialah anak Allah”. Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri,
(iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu; semoga Allah
binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran?
(At-Taubah 9:30)
7. Nabi Samuel A.S.
Samuel
(Arab:صموئيل
Shamu`ayl)atau Samwil dalam Islam dianggap sebagai salah satu nabi Bani Israel
dan dikatakan bahawa Samuel adalah keturunan dari Yusuf. Ia pernah diminta oleh
kaumnya untuk memilih seorang pemimpin dari kalangannya. Pada akhirnya
terpilihlah Thalut yang memiliki profesion seorang petani. Namanya tidak
disebutkan dalam Al-Qur’an, tetapi telah diwahyukan oleh Allah dalam surah Al
Baqarah, tanpa menyebutkan namanya.
Pengganti Nabi
Musa A.S.
Beliau telah diutuskan oleh Allah S.W.T. selepas kewafatan Nabi Musa A.S.
Semasa zaman Nabi Musa A.S., Bani Israel dalam berabad-abad lamanya dapat hidup
bersatu di negeri mereka sendiri, tidak dapat diusir oleh kekuatan daripada
mana-mana pihak.
Selepas kewafatan Nabi Musa A.S., bangsa Israel lama kelamaan lupa akan ajaran
Nabi Musa A.S., lupa akan agama mereka dan agama itu mereka telah ubah menurut
kemahuan mereka sendiri.
Dalam
keadaan yang demikian itu, akhirnya mereka dapat dikalahkan dan diusir dari
kampung halaman mereka sendiri oleh bangsa Palestin.
Nasib bangsa
Israel semakin jelek dan melarat di bawah penjajahan sehingga mengalami
pengusiran itu, terpisah dari anak dan isteri mereka dalam tempoh yang lama,
mereka juga tidak sanggup tampil ke hadapan untuk memimpin bangsanya yang telah
bercerai-berai itu.
Akhirnya
diutus oleh Allah kepada mereka seorang Nabi, Samuel namanya. Dengan pimpinan
Samuel ini, akhirnya beberapa orang di antara bangsa Israil dapat berkumpul.
Dari kumpulan ini timbul hasrat bagi mereka, untuk berusaha mengusir bangsa
Palestin yang telah mengusir mereka dari tanah airnya. Tetapi sayang, tidak
seorang juga di antara mereka yang berani dan sanggup menjadi pemimpin.
Samuel tahu
benar mengenai kelemahan kaumnya yang demikian itu, kelemahan yang disebabkan
oleh tidak adanya kemahuan untuk berjuang dan kelemahan kerana tidak adanya
rasa patuh terhadap pemimpinnya.
Dengan tegas
Samuel berkata kepada mereka: “Sebab kelemahan kamu, adalah kerana kamu
sekalian tidak mahu berjuang menghadapi peperangan bila dipanggil untuk
berperang!”
Mereka menjawab: Kami sanggup berjuang dan bertempur, kerana tidak tahan lagi
hidup sengsara terpisah dengan anak, keluarga dan tanahair sendiri, asal saja
ada yang memimpin kami dalam perjuangan dan pertempuran itu. (tetapi hanya
sedikit sahaja yang bersungguh-sungguh untuk berjuang dan mengikut arahan
pemimpinnya).
Samuel
meminta mereka menunggu, kerana Samuel ingin menerima petunjuk dari Allah
S.W.T. terlebih dahulu, tentang maksud ini. Lalu kepada Samuel diwahyukan oleh
Allah S.W.T., agar memilih Talut menjadi raja dan pemimpin perang mereka.
Samuel sendiri rupanya belum kenal siapa Talut itu. Tetapi dengan tegas Allah
S.W.T. mewahyukan kepada Samuel, agar jangan ragu-ragu dalam menetapkan Talut
sebagai pemimpin dan jeneral dalam perang yang diperintahkan itu.
Talut adalah
anak desa dalam negeri itu, bahkan anak seorang yang miskin pula. Jangankan ia
akan dikenal sebagai pemimpin dalam pergaulan, malah sehari-hari saja jarang
orang kenal kepadanya. Tetapi dia adalah seorang yang berbadan kuat dan sihat;
tinggi dan gagah perwatakannya, matanya tajam, fikirannya pun luas dan tajam
pula. Dalam pada itu, dia mempunyai hati yang suci bersih, budi yang halus dan
agung. Dia tinggal di desa kecil bersama-sama bapanya. Pekerjaannya bertani dan
berternak.
Tabut
berjaya dirampas semula
Akhirnya, tentera pimpinan jeneral Talut telah berjaya mengalahkan bangsa
Palestin walaupun jumlah mereka adalah sedikit dan ketika itu juga jeneral
jalut yang memimpin bangsa Palestin telah mati akibat dilontar batu oleh Nabi
Daud A.S. yang ketika itu berumur 9 tahun. Nabi Samuel A.S. turut menyertai
peperangan itu yang mana Tabut milik Bani Israil telah berjaya dirampas semula.
Kisah
mengenai Nabi Samuel A.S. ada disebutkan dalam Al Quran walaupun tidak
disebutkan namanya di dalam Al Quran, iaitu surah Al Baqarah ayat 247 dan ayat
248.
8. Nabi Imran A.S.
Nabi Imran
A.S. adalah salah seorang nabi dan juga merupakan bapa kepada Mariam iaitu ibu
Nabi Isa A.S. Nama sebenar Nabi Imran ialah Imran bin Hasyim bin Amun. Beliau
berkahwin dengan Hannah binti Faqud bin Qabil dan telah dikurniakan oleh Allah
seorang anak perempuan bernama Mariam. Kedua-dua mereka mempunyai darah
keturunan Nabi.
Surah Ali
Imran
Nabi Imran dan keluarganya telah dimuliakan oleh Allah S.W.T. seperti mana yang
telah terdapat dalam Al Quran surah Ali Imran ayat 33 yang bermaksud : “Allah
telah memilih Adam, dan Nuh, dan keluarga Ibrahim, dan keluarga Imran, di atas
semua alam”.
Kehidupan
keluarga Imran sederhana. Mereka tinggal di perkampungan Nazareth, Palestin.
Kegiatan ekonomi penduduk di perkampungan itu lebih tertumpu kepada kegiatan
pertanian yang pernah dilakukan oleh nenek moyang mereka. Kebanyakan daripada
mereka menjalankan kegiatan pertukangan kayu.
Mereka mengutip hasil kayu dari
hutan dan kemudiannya menjual kayu tersebut kepada pelanggan yang mahu
membelinya. Ada juga di antara mereka yang mahir membuat kasut dan mengeringkan
buah tin sebagai pekerjaan mereka. Nabi Imran A.S. menyimpan hasrat untuk
tinggal di Jerusalem. Beliau ingin berkhidmat di Baitulmuqaddis. Beliau pernah
bermimpi menjadi siak di tempat suci di Baitulmuqaddis dan bermimpi menjaga
kebersihan dan membantu kerja-kerja menjaga tempat suci itu.
Isteri Nabi
Imran A.S. telah bernazar kepada Allah S.W.T. agar Allah S.W.T. menerima
anaknya Mariam untuk menjadi ahli Ibadat kepadaNya seperti mana yang terdapat
dalam surah Ali Imran ayat 35 yang bermaksud : (Ingatlah) ketika isteri Imran
berkata:” Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam
kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk
berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya
Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
9. Nabi Jurjis A.S.
Kisah Nabi
Jurjis Dengan Raja Bani Israil
Dalam satu riwayat mengatakan, pada zaman dahulu ada seorang raja Bani Israil
yang zalim. Kezalimannya bukan sahaja terhadap rakyatnya sendiri malahan
terhadap Allah S.W.T. Segala perintah Allah diabaikannya, dia memerintah
mengikut hawa nafsu serta undang-undang buatannya. Maka Allah mengutuskan
seorang nabi bernama Jurjis. Dia mengutuskan nabi Jurjis untuk menghapuskan
kezaliman Raja Bani Israil itu yang sangat melampaui batas.
Setiap hari
Nabi Jurjis berusaha untuk menyedarkan raja serta rakyatnya agar mengikut
perintah Allah. Malangnya segala ajakan Nabi Jurjis tidak sedikitpun
dipedulikan oleh raja tersebut. Malahan Raja itu menentang ajaran-ajaran yang
dibawa oleh Nabi Jurjis.
Akhirnya
Allah S.W.T. pun menurunkan bala terhadap kaum Bani Israil. Bertahun-tahun
Allah tidak menurunkan hujan di tanah Bani Israil. Banyaklah tanaman serta
haiwan mati kehausan. Tanah-tanah pertanian serta kolam-kolam air akhirnya
menjadi kering kontang. Maka terjadilah kebuluran di merata tempat di negeri
itu.
Raja menjadi
bingung kerana dahulu rakyatnya pergi ke kuil setiap hari menyembah berhala
tetapi kini mereka tidak ke kuil, malahan sibuk menguruskan kehidupan mereka
seharian. Setiap hari raja tersebut dikunjungi rakyat jelata untuk memohon
bantuan. Malangnya raja tidak dapat berbuat satu apapun.
Pada suatu
hari raja memerintahkan para menteri menyiasat keadaan seluruh negeri itu.
Setelah melakukan penyiasatan, mereka pun datang mengadap raja. Kata para
menteri itu : “Wahai paduka Tuanku. Keadaan seluruh negeri amatlah
mendukacitakan sekali. Tanah-tanah pertanian dan kolam-kolam air semuanya
kering belaka.
Haiwan ternakan banyak yang mati manakala rakyat dalam keadaan
kebuluran. Kami kira kalau keadaan ini berterusan, musnahlah seluruh kerajaan
Tuanku nanti”.
Setelah
mendengar laporan para menterinya, raja pun bertitah : “Kalau demikian keadaan
negeri dan kerajaan, cubalah beri pendapat kamu bagaimana kita boleh mengatasi
masalah yang amat sulit lagi berbahaya ini”.
Maka jawab
para menterinya : “Kami berpendapat eloklah kita cari dimana Nabi Jurjis.
Paduka Tuanku tentu ingat bahawa Nabi Jurjislah orang yang selalu berjaya menolong
kita sewaktu terjadi keadaan-keadaan seperti ini. “Apa maksud kamu semua
menyebut Jurjis itu”, tanya raja tersebut.
“Wahai
Paduka Tuanku, tidakkah Tuanku ingat bahawa Jurjis selalu mengajak kita
menyembah Allah. Jika ajakannya itu benar tentu dapat meminta kepada Tuhannya
itu supaya diturunkan hujan”, balas para menteri itu. “Tapi
bagaimana kalau hujan tidak turun juga?”, tanya raja lagi. “Kita bunuh sahaja
Jurjis”, sahut menteri-menteri itu penuh yakin. Maka pada keesokannya raja
bersama dengan para menteri pergi mendapatkan Jurjis. Sebaik sahaja mereka tiba
di perkarangan rumah Nabi Jurjis, mereka dapati Nabi Jurjis sedang tekun
beribadat. Tiba-tiba Nabi Jurjis terdengar suara orang dari luar rumahnya. “Hai
Jurjis, keluarlah kamu!”, perintah raja itu dengan suara yang agak kasar.
Sebaik sahaja namanya diseru, maka Nabi Jurjis pun segera keluar.
“Surat
apakah itu hai Tuanku”. “Aku minta Tuhanmu supaya turunkan hujan. Kalau hujan
tidak turun, katakan kepada Tuhanmu itu bahawa aku akan memeranginya”, seru raja
itu dengan angkuh.
Nabi jurjis
berasa terlalu sedih mendengar perintah raja itu. Dalam masa Nabi Jurjis sedang
bersedih, tiba-tiba muncul malaikat Jibril lalu berkata kepadanya, “Wahai
Jurjis, kenapa engkau bersedih sahaja? Beritahukah apa yang diminta oleh raja
itu kepada Allah”.
Nabi Jurjis
pun menurut apa yang dinasihatkan oleh Jibril A.S. Kemudian Allah menyuruh
Jurjis bertanya kepada raja Bani Israil itu, bagaimana caranya dia hendak
menentang Allah. Pada keesokan harinya, Nabi Jurjis pun pergi ke istana untuk
bertanyakan seperti yang diperintahkan oleh Allah S.W.T.
Sebaik
sahaja raja mendengar kata-kata Nabi Jurjis, maka raja itu pun berkata : “Hai
Jurjis, aku memang tidak dapat memerangi Tuhanmu kerana Dia sangat perkasa
sedangkan aku lemah tetapi aku akan memerangi apa jua kekasihNya di bumi ini”,
tegas raja itu dengan angkuh. Setelah itu Jurjis pun pulang ke rumahnya.
Setibanya dia di rumah, didapatinya malaikat Jibril sudah pun berada di dalam
bilik tempat dia beribadat. Kata malaikat Jibril : “Hai Jurjis, pergilah engkau
bertemu raja itu dan nasihatilah dia supaya membatalkan maksudnya itu”.
Setelah
mendengar nasihat Jibril itu, keesokannya Jurjis pergi semula ke istana raja
dan menasihati raja tersebut. Dengan izin Allah, raja yang angkuh itu pun
menerima nasihat Nabi Jurjis. Setelah segalanya selesai, Nabi Jurjis pun
kembali semula ke rumahnya. Sebaik sahaja kakinya melangkah masuk ke rumah,
hujan pun turun dengan lebatnya selama tiga hari tiga malam. Tanaman tumbuh
dengan subur, sungai dipenuhi air, rakyat mulai turun ke ladang mengerjakan
tanaman mereka. Akhirnya negara itu kembali makmur seperti sediakala.
Melihatkan
keadaan kembali pulih seperti sediakala, raja pergi mendapatkan Nabi Jurjis
A.S. berserta dengan rakyatnya dan menyatakan keimanan kepada Allah yang Maha
Kuasa.
10. Nabi Amos A.S.
Nabi Amos
A.S. adalah seorang Nabi yang berasal dari Tekoa iaitu di sebelah tenggara
Baitulaham. Di dalam Alkitab, kitab Amos ditulis oleh Nabi Amos A.S. Beliau
juga adalah Nabi yang pertama dalam Alkitab yang pesannya dicatat secara
terperinci. Beliau berasal dari sebuah kota di Yehuda, tetapi ia berkhutbah
kepada orang-orang Israel di kerajaan utara sekitar pertengahan abad ke-8 SM.
Pada masa
itu banyak orang hidup makmur, ibadah dipentingkan dan negeri Israel nampaknya
damai. Tapi Amos melihat bahawa yang mengecap kemakmuran hanyalah para hartawan
yang memperkayakan diri dengan hasil penindasan dan ketidakadilan terhadap
orang miskin. Orang menjalankan ibadah dengan hati yang tidak ikhlas dan keadaan
damai hanya tampak dari luar. Dengan berani dan penuh semangat, Amos
menyampaikan pesan bahawa Tuhan akan menghukum bangsa Israel. Amos menyeru agar
keadilan “mengalir seperti air”. Beliau berkata, “Mungkin Tuhan akan
mengasihani orang-orang yang ditindas dari bangsa Israel”.
Begitulah
sedikit kisah mengenai Nabi Amos A.S. yang lantang menentang ketidakadilan yang
berlaku dalam masyarakat.
11. Nabi Jeremiah A.S.
Nabi
Jeremiah A.S. merupakan antara salah seorang Nabi dalam kalangan Bani Israil.
Melalui pendapat Ibnu Kathir,nama nabi Jeremiah yang sebenar ialah Armia b
Hilqiya. Nabi ini diutuskan oleh Allah kepada Bani Israil di Jurusalem pada
fasa dia antara Nabi Daud dan Nabi Zakaria.
Beliau
dipenjarakan oleh kerajaan Bani Israel di Jurusalem kerana beliau menyuruh
mengesakan Allah. Beliau diseksa dan dipenjarakan dengan teruk. Di dalam
penjara,beliau telah berdoa kepada Allah agar diberikan pengajaran kepada
mereka. Allah memakbulkan doa Nabi Jeremiah itu dan Allah mengutuskan Tentera
daripada Babilon dan Assyria untuk menghancurkan kerajaan Israil.
Kisah
mengenai Nabi Jeremiah A.S.
Semasa masih muda, Jeremiah memulakan tugas-tugas kenabiannya kira-kira pada
akhir dari abad ke tujuh sebelum Masihi, ketika Kerajaan Judah dalam bahaya
besar penyerbuan oleh tentera dari Chaldea. Orang-orang Yahudi telah bersekutu
dengan Firaun dari Mesir, tetapi kerana Firaun ini telah mengalami kekalahan
buruk dari tentera Nebukadnezar, maka nasib buruk Jerusalem adalah hanya
tinggal waktu saja.
Dalam hari-hari yang sukar itu, selama mana nasib dari
tinggalan para hamba Allah akan ditentukan, Nabi Jeremiah dengan semangatnya
memberi nasihat kepada raja dan para pemimpin orang-orang Yahudi untuk menyerah
dan mengabdi pada Raja Babilon, supaya Jerusalem dapat diselamatkan daripada
dibakar habis menjadi abu serta orang-orang Yahudi diselamatkan daripada
menjadi sebagai orang tawanan.
Beliau mencurahkan semua ceramahnya yang lantang
dan berapi-api ke telinga raja-raja, pendeta-pendeta, dan ketua-ketua
masyarakat, tetapi semua hanya sia-sia. Beliau menyampaikan firman demi firman
Tuhan dengan mengatakan bahawa satu-satunya jalan menyelamatkan negeri dan
penduduknya dari kemusnahan yang teruk ialah menyerah kepada orang-orang
Chaldea; namun tiada seorang pun sudi mendengar peringatan itu.
Nabi
Jeremiah A.S. diseksa dalam tahanan
Nebukadnezar datang dan mengambil alih kota, membawa pergi rajanya, para
pembesar serta banyak tawanan. Demikian pula seluruh kekayaan dari kuil
termasuk bejana-bejana emas dan perak. Seorang pembesar lain, pembesar yang
ketiga, diangkat oleh Kaisar Babilon untuk memerintah sebagai budaknya di
Jerusalem. Raja ini, bukannya menjadi bijak dan setia kepada penguasa Babilon
tetapi bahkan memberontak terhadapnya. Tanpa henti Jeremiah menasihati raja
untuk tetap setia dan meninggalkan kebijakan (persekutuan dengan) Mesir.
Namun
nabi-nabi palsu terus saja berceramah dengan lantang di kuil dengan berkata:
“Demikianlah Tuhan Rumah Allah itu berfirman, Lihatlah, Aku telah mematahkan
simpul Raja Babilon, dan dalam waktu dua tahun semua tawanan orang Yahudi dan
bejana-bejana Rumah Tuhan akan dikembalikan ke Jerusalem.”
Jeremiah membuat
simpul dari kayu dan dikalungkan di lehernya dan pergi ke kuil serta memberi
tahu orang-orang bahawa Tuhan telah berasa senang meletakkan simpul raja
Babilon seperti ini pada leher semua orang Yahudi. Beliau dipukul mukanya oleh
salah satu nabi palsu (lawannya) yang mematahkan simpul kayu itu dari leher
Jeremiah serta mengulangi lagi ceramah dengan lantang dari nabi-nabi palsu.
Jeremiah dimasukkan ke dalam sel yang penuh dengan lumpur, dan hanya diberi
makan dengan sekeping roti kering yang dibuat daripada barli setiap hari hingga
terjadi kelaparan di kota itu, yang diserang oleh orang-orang Chaldea.
Nabi
palsu (Hananiah) meninggal seperti diramalkan oleh Jeremiah. Dinding kota itu
diruntuhkan di suatu tempat dan tentera yang menang itu menyerbu masuk kota,
Raja Zedekiah yang melarikan diri dan orang-orang yang besertanya ditangkap dan
dibawa ke raja Babilon. Kota dan kuil itu sesudah dijarah lalu dibakar dan
semua penduduk Jerusalem dibawa pergi ke Babilon; hanya orang dari kelas miskin
yang ditinggalkan untuk mengusahakan tanah. Atas perintah Nebukadnezar,
Jeremiah diizinkan tinggal di Jerusalem dan gabernor yang baru diangkat yang
bernama Gedalliah diberi tugas untuk menjaga dan mengurus nabi itu.
Tetapi
Gedalliah telah dibunuh oleh orang Yahudi yang memberontak dan mereka kemudian
lari ke Mesir dengan membawa Jeremiah beserta mereka. Bahkan di Mesir pun
beliau meramal hal-hal yang bertentangan dengan kepentingan para pelarian dan
orang-orang Mesir. Beliau pastilah sudah mengakhiri hidupnya di Mesir.
12. Nabi Malakhi A.S.
Maleakhi
atau Mal’akhi yang bermaksud “Utusan/Malaikatku” adalah seorang nabi dalam
Alkitab, Perjanjian Lama umat Kristian dan Tanakh bagi umat Yahudi.
Malakhi
adalah nabi terakhir dalam 12 nabi-nabi kecil dan penulis Kitab Maleakhi, kitab
terakhir dalam Perjanjian Lama (Mal. 4:4-6) edisi Kristian, dan merupakan kitab
terakhir dalam kumpulan Nevi’im (nabi-nabi) dalam Tanakh Yahudi.
NABI MUHAMAD
DALAM KITAB NABI MALAKHI
Di dalam kitab Nabi Malakhi ada dinyatakan mengenai Nabi akhir zaman iaitu Nabi
Muhammad S.A.W. pada fasal 3 :1: 2 yang dinyatakan seperti berikut :
“Bahawasanya Aku menyuruh utusanku yang menyediakan jalan dihadapan hadirat-Ku
dan dengan segera akan datang kepada kaabahnya, Tuhan yang kamu rindukan itu.
Bahawasanya ia akan datang, demikianlah firman Tuhan sarwa sekalian alam.
Tetapi siapakah gerangan akan menderita hari kedatangannya? Dan siapa tahan
berdiri apabila kelihatanlah dia?
Kerana iapun akan seperti api pandai emas dan
akan seperti sabun binara.” “Akan datang seorang utusan,” yang seperti nyala
api dan sabun binara. Kedatangannya dengan membawa anasir-anasir yang panas,
keras seperti sabun binara. Ia tidak datang seperti Yesus (Isa) yang lembut dan
“sunyi senyapnya.” Iapun tidak bersikap selemah lembut Yesus, yang mengasuh
umat seperti seekor induk ayam mengumpulkan dan menaungi anak-anaknya. Alangkah
penyabarnya Yesus ini. Tetapi akan orang yang datang sesudah Yesus itu dengan
panas seperti panasnya api pandai emas jua ia membakar bumi Arabia bahkan
sampai ke hujung
Hispanola (Sepanyol) dengan seruan jihadnya yang sangat
menggetarkan hati lawannya: “Allahu Akhbar.”
Apa yang
dapat disimpulkan di sini ialah kedatangan Nabi Muhammad S.A.W. memang sudah
diramalkan akan berlaku dan baginda akan menyebarkan agama yang cukup lengkap
dan sempurna yakni Islam keseluruh dunia bermula dari Tanah Arab hinggalah ke
seluruh dunia bahkan yang dikatakan hingga ke Sepanyol itu telah pun berlaku
apabila panglima Tariq bin Ziyad telah berjaya menawan Sepanyol ataupun Al
Andalus melalui peperangan jihad dan seterusnya menyebarkan Islam di wilayah
terbabit. Dan memang benar bahawa seruan Takbir yang dilaungkan oleh para
pejuang Islam telah menggetarkan hati musuh-musuh Islam terutamanya dalam
setiap peperangan jihad.
13. Nabi Isaiah A.S.
Nabi Isaiah
ataupun Nabi Yesaya adalah salah seorang 12 nabi-nabi kecil Bani Israil yang
tidak tercatat namanya dalam Al Quran namun beliau adalah seorang nabi kepada
kaum Bani Israil. Beliau juga mempunyai kitab sendiri hasil penulisannya yang
dipanggil kitab Yesaya. Beliau merupakan nabi Judea abad ke-8 SM yang
mendeklarasikan bahawa seluruh dunia berada dalam pengendalian Tuhan dan
memperingatkan masyarakatnya bahawa negeri mereka akan dimusnahkan apabila
mereka berpaling dari ajaran Tuhan.
Biografi
Nabi Isaiah A.S. hidup di zaman pemerintahan kerajaan Judah dibawah
pemerintahan 4 orang raja iaitu Uzziah/Azariah, Jotham, Ahaz dan Hezekiah. Raja
Uzziah mentadbir kerajaan Judah selama 52 tahun iaitu pada pertengahan abad ke
8 sebelum masihi dan kemungkinan Nabi Isaiah memulakan tugas kenabiannya
sebelum kematian Uzziah iaitu pada 740 SM. Beliau hidup hingga 14 tahun
pemerintahan Raja Hezekiah yakni 698 SM dan kemungkinan juga hidup pada zaman
pemerintahan Manasseh. Jadi Isaiah mungkin telah bernubuat(kenabian) untuk
tempoh panjang sekurang-kurangnya enam puluh empat tahun.
Nabi Isaiah
juga hidup ketika berada di bawah pemerintahan kerajaan Assyria iaitu ketika
pemerintahan Tiglath-Pileser III dan Shalmaneser V dari Sumeria yang telah
menawan kerajaan Judah ketika beliau masih muda, termasuklah serangan tentera
oleh Sennacherib ke atas Judah.
Isaiah
menurut Islam
Menurut Ibnu Ishaq, Nabi Isaiah telah diutuskan sebelum Nabi Zakaria dan Nabi
Yahya dan beliau juga telah bernubuat tentang kedatangan Nabi Isa dan juga Nabi
Muhammad S.A.W.
Yesaya
berkhutbah dan mati syahid
Menurut penafsiran Islam telah dinyatakan bahawa Hezekiah adalah raja yang
memerintah Jerusalem (Baitulmuqaddis)ketika hayat Nabi Isaiah A.S. Hezekiah
sentiasa patuh dan mendengar nasihat Nabi Isaiah tetapi tetap dengan
pendiriannya kerana ketika itu keadaan di Israel/Judah sangat meruncing.
Keadaan semakin meruncing apabila berlakunya kematian raja Judah itu. Setelah
kematian raja itu, Nabi Isaiah telah mengatakan kepada Bani Israil untuk tidak
melupakan Tuhan dan beliau memperingatkan mereka bahawa mereka harus berhenti
daripada terus-menerus melakukan dosa dan juga daripada ketidaktaatan. Tradisi
Muslim berpendapat bahawa tidak sepatutnya orang-orang Bani Israil marah dan
berusaha untuk membunuh Nabi Isaiah. Dalam sebuah kematian yang mirip dalam
kehidupan para nabi, penafsiran Islam menceritakan bahawa beliau menjadi syahid
setelah dibunuh dengan digergaji badannya oleh Bani Israil
14. Nabi Hagai A.S.
Hagai
(bahasa Ibrani: חַגַּי, Ḥaggai atau
“Hag-i”) adalah salah seorang dari dua belas nabi-nabi kecil dan penulis Kitab
Hagai. Beliau adalah nabi pertama dari tiga nabi (bersama Nabi Zakaria yang
hidup sezaman dengannya dan Malakhi yang hidup sekitar seratus tahun kemudian)
yang hidup pada zaman sejarah Yahudi yang bermula setelah kepulangan mereka
dari pembuangan di Babylon.
Tidak banyak
yang diketahui tentang kehidupan peribadinya. Beliau mungkin adalah salah
seorang daripada mereka yang dibuang ke Babel oleh Nebuchadnezar. Beliau
memulakan tugas kenabiannya sekitar 16 tahun setelah kepulangan kembali orang
Yahudi ke Yehuda. Usaha pembangunan kembali Bait Suci telah dihentikan kerana
gangguan-gangguan orang Samaria.
Setelah ditunda selama 15 tahun, pekerjaan itu
dilanjutkan kembali melalui usaha Hagai dan Zakaria (Ezra 6:14). Mereka
mengimbau rakyat dan membangkitkan mereka daripada kemalasan dan mendorong
mereka untuk memanfaatkan perubahan dalam kebijaksanaan yang diambil oleh
pemerintah Parsi di bawah Darius I dari Parsi.
15. Nabi Hanzalah A.S.
Nabi Hanzalah A.S. adalah salah seorang Nabi yang namanya tidak dicatatkan
dalam Al Quran namun kisah masyarakat atau umat yang dibimbingnya telah
terdapat dalam Al Quran. Nama penuhnya ialah Hanzalah bin Sifwan. Menurut Ibnu
Katsir dalam karyanya, Qisas al Anbiya’ telah menceritakan bahawa baginda telah
diutuskan kepada satu kaum di Yaman untuk mengajak mereka supaya beriman kepada
Allah S.W.T. Kisah mengenai masyarakat yang dibimbingnya terdapat dalam Al
Quran surah Al Furqaan ayat 38 yang bermaksud : ‘Dan (demikian juga Kami telah
binasakan) Aad dan Thamud serta Ashaabur-Rassyi dan banyak lagi dalam
zaman-zaman di antara masa yang tersebut itu’.
Dicampakkan
ke dalam perigi
Menurut pendapat kebanyakan ulama’, kaum Ashaabur-Rassyi merupakan kaum yang
diajak oleh Nabi Hanzalah A.S. untuk beriman kepada Allah S.W.T. Mereka adalah
penduduk di sebuah negeri yang sekarang ini terletak di Yaman. Sesetengah
pendapat mengatakan bahawa mereka tinggal berhampiran dengan kaum Thamud.
Mereka dikenali sebagai masyarakat Ar-Rass kerana tempat tinggal mereka
terkenal dengan perigi atau mata air dan nama Ar-Rass juga bermaksud perigi
atau mata air.
Mereka juga digelarkan sebagai masyarakat penjaga perigi.
Terdapat juga cendekiawan muslim mengatakan Ar-Rass itu adalah sebuah bandar.
Namun seperti para nabi dan Rasul yang lain, dakwah yang dibawa oleh nabi ini
tidak disenangi oleh penduduk Ashaabur-Rassyi sehinggakan mereka telah membunuh
nabi ini dengan mencampakkannya ke dalam perigi dan seterusnya mereka telah
menerima azab daripada Allah S.W.T sepertimana kaum Aad, Thamud serta kaum nabi
Nuh yang dihilangkan mereka daripada muka bumi Allah S.W.T. seperti firman
Allah S.W.T. pada ayat 39 surah Al Furqaan yang bermaksud : ‘Dan masing-masing,
telah Kami berikan kepadanya contoh tauladan yang mendatangkan iktibar, dan
masing-masing telah Kami hancurkan sehancur-hancurnya’. Demikianlah kisah
mengenai Nabi Hanzalah A.S.
16. Nabi Syam’un A.S.
Etimologi
Simson: Ibrani, شمشون : Arab atau Syam’un ertinya ‘yang berasal dari matahari’. Nabi
Syam’un adalah salah seorang Nabi dari kalangan Bani Israil.
Syam’un
dalam Islam
Kisah Nabi Syam’un/Samson ini tidak terdapat dalam Al Quran namun kisah Syam’un
ini ada pada kitab Qisasul Al Anbiya’. Dalam kitab itu dikatakan bahawa Nabi
Muhammad S.A.W. tersenyum sendiri, lalu ditanya oleh sahabatnya, “Apa yang
membuatkanmu tersenyum wahai Rasulullah?” Muhammad menjawab, “Diperlihatkan
kepadaku hari akhir ketika seluruh manusia dikumpulkan di mahsyar, ada seorang
Nabi dengan membawa pedang yang tidak mempunyai pengikut satupun, masuk ke
dalam syurga. Beliau adalah Syam’un”.
Dalam kitab
Muqasyafatul Qulub karangan Imam Ghazali ada menceritakan bahawa Rasulullah
S.A.W. berkumpul pada bulan suci Ramadhan. Di dalam usrah itu Rasulullah S.A.W.
bercerita mengenai Nabi Allah S.W.T. bernama Syam’un A.S. Rasulullah S.A.W.
menggelarnya Sam’un Ghazi.
Syam’un A.S.
telah dianugerahkan oleh Allah S.W.T. dengan kekuatan luar biasa seperti
berkebolehan melembutkan besi, mampu menewaskan binatang buas dan berkemampuan
untuk mengangkat tiang istana dan merobohkannya.
Berani
menentang kebatilan
Nabi Allah ini menentang keras perbuatan kaumnya yang ingkar dengan perintah
Allah S.W.T. Pada masa itu, Raja Israil sendiri adalah seorang yang ingkar
dengan perintah Allah dan zalim pula terhadap rakyatnya. Sifat bongkak raja
tersebut mengundang rasa benci beliau terhadap raja tersebut sehingga
menyebabkan baginda tidak henti-henti untuk berdakwah kepadanya walau dengan
apa cara sekalipun.
Sifat
istiqamah Syam’un A.S. mengundang padah padanya apabila beliau berjaya
ditangkap setelah isterinya sendiri mengkhianatinya. Syam’un A.S. pernah
berkata kepada isterinya berkenaan kelemahan dirinya yang boleh dilemahkan
dengan mengikat dirinya dengan rambutnya sendiri. Akhirnya Syam’un A.S.
ditangkap.
Syam’un A.S.
telah diseksa dan dibutakan matanya. Namun, ia tidak menghalang dirinya untuk
terus berjuang menentang kebatilan. Syam’un A.S. berdoa kepada Allah S.W.T.
agar dikembalikan kekuatan yang dianugerahkan kepadanya dahulu. Allah S.W.T.
memakbulkan doa baginda.
Syam’un A.S.
telah menggunakan kekuatan yang diperolehinya semula dengan meruntuhkan seluruh
istana sehingga mengorbankan raja dan isteri beliau sendiri.
Selepas
kejadian itu, Syam’un A.S. kemudian bersumpah untuk beribadah selama 1000 bulan
tanpa henti. Daripada kisah yang diceritakan inilah, maka datang wahyu
berkenaan malam Lailatul Qadar yang sama dengan keberkatan 1000 bulan.
Hal ini
adalah kerana terdapat sahabat baginda Rasulullah S.A.W. yang bertanya kepada
baginda untuk mereka ikut jejak langkah Nabi Syam’un A.S. Baginda terdiam
sejenak sebelum malaikat Jibril datang menurunkan wahyu kepada baginda Rasulullah
S.A.W. mengenai satu malam pada bulan Ramadhan yakni malam Lailatul Qadar iaitu
sesiapa yang beribadat pada malam tersebut, pahala amalannya menyamai 1000
bulan beribadat. (Red)
*** Demikanlah dunsanak ......' Semoga bermanfaat. ***